SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PENGKALAN CHEPA 1, JALAN MAKTAB, 16100 KOTA BHARU, KELANTAN, DARUL-NAIM e-mail: smkpchepa1@yahoo.com Tel: 09-7713840

Saturday, November 22, 2008

Selamatkan diri dari pornografi

REALITINYA hari ini di kalangan anak- anak muda atau remaja dengan mudah melihat dan mengumpul koleksi gambar atau majalah pornografi yang didapati dengan mudah di kedai-kedai atau dari Internet. Bayangkanlah jika hal ini terjadi kepada anak-anak kita. Kita boleh berbeza pendapat mengenai definisi pornografi dan perlu atau tidaknya hal seumpama ini diuruskan oleh undang-undang. Tetapi setidak-tidaknya kita sepakat untuk menyatakan bahawa pornografi itu adalah satu kesalahan dari peraturan Allah SWT.

Dilihat daripada perspektif Islam, jelas sekali pornografi merupakan perbuatan yang bersalahan dengan hukum syariat kerana ia mendorong seseorang lelaki atau perempuan kepada perbuatan yang tidak bermoral. Pengaruh pornorafi yang boleh mengakibatkan berlakunya perbuatan zina cukup besar implikasinya sehingga melahirkan penyakit yang tidak ditemui penyembuhannya iaitu AIDS. Di kalangan sesetengah anak-anak muda kita, kegilaan melihat gambar-gambar pornografi adalah merupakan tanda- tanda awal penyerapan ke arah penzinaan. Titik tolak untuk memahami pornografi dalam Islam ialah melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya. Yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat. Katakanlah pula kepada perempuan yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya dan menjaga kemaluannya. Dan janganlah mereka menampakan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak padanya… (An-Nur: 30-31)

Ayat di atas berbicara dalam konteks pedoman pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, iaitu mereka yang dibolehkan berkahwin. Menarik dikaji bahawa dalam pergaulan antara lelaki dengan perempuan, Tuhan menekankan kepada dua perkara pokok, iaitu menahan pandangan dan menjaga organ seksual. Dalam kaitan dengan pornografi, terlihat bahawa aktiviti pornografi ini sangat berkait erat dengan soal menjaga mata dan memelihara organ seksual.

Melalui firman Allah SWT di atas, jelas bahawa perintah untuk menjaga pandangan dan organ seksual hanya ditujukan kepada kelompok tertentu, iaitu orang-orang yang beriman, tanpa membezakan lelaki dan perempuan, bukan kepada semua manusia, bahkan juga bukan kepada semua yang mengaku Muslim. Mengapa perintah Tuhan itu hanya ditujukan pada orang beriman? Sebabnya, hanya orang beriman sahaja yang mematuhi dan melaksanakan perintah Tuhan.

Perintah itu tidak ditujukan kepada mereka yang tidak beriman kerana ia adalah sia-sia sahaja. Mereka pasti tidak akan mematuhinya. Kepatuhan seseorang kepada Tuhan adalah kerana dia beriman kepada-Nya, demikian sebaliknya, kerana itu perintah dan larangan Tuhan hanya ditujukan kepada hamba- Nya yang beriman, bukan kepada selainnya. Dalam konteks ini, kita perlu melakukan introspeksi (proses penilaian) diri apakah kita masih tergolong sebagai orang beriman atau bukan. Sebab yang tahu hanya diri kita sendiri dan Tuhan sahaja.

Apa yang lebih penting pada ketika ini kita harus bahu membahu untuk menyelamatkan anak-anak muda dari terus terjerumus dalam kancah kegilaan pornografi ini.Usaha untuk mencegah merebaknya pengaruh pornografi dari perspektif agama haruslah bermula daripada keluarga. Bukan hal yang kebetulan jika dalam al-Quran ditemukan sekitar 70 ayat yang berbicara mengenai pentingnya institusi keluarga. Keluarga harus menjadi tonggak awal dalam membangun masyarakat dan selanjutnya bangsa yang bermoral.

Nilai-nilai moral yang sangat ditekankan dalam setiap agama harus dimulai pelaksanaannya dalam kehidupan berkeluarga. Keluarga adalah unit terkecil dalam masyarakat yang memiliki banyak fungsi, dan di antara fungsinya yang sangat strategik adalah fungsi pendidikan dan agama. Pendidikan agama harus dimulai daripada keluarga. Pendidikan agama di luar keluarga hanya bersifat pelengkap kepada nilai-nilai yang sudah ditanamkan di dalam sesebuah keluarga.

Pendidikan agama

Perlu ditegaskan di sini bahawa pendidikan agama yang hendak ditanamkan kepada anak-anak sejak awal adalah pendidikan agama yang mengajarkan nilai-nilai kemanusiaan sehingga mereka terdorong menjadi manusia yang bertanggungjawab dan berguna. Bukankah ada hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling berguna bagi sesamanya.”

Daripada hadis tersebut difahami bahawa sejahat-jahat manusia adalah yang mengeksploitasi sesamanya. Oleh yang demikian itu, apa yang dituntut bukanlah pendidikan agama yang hanya menekankan pada hal-hal yang bersifat peraturan formal semata-mata, sebaliknya pendidikan agama yang menekankan tiga aspek penting dalam diri manusia, iaitu aspek pemikiran, jiwa dan minda sehingga dapat membangun moral yang kukuh dalam diri seseorang.

Tujuan akhir daripada semua ajaran Islam sesungguhnya adalah menjadikan manusia itu berakhlak karimah atau berbudi luhur sebagaimana dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Aku diutus semata-mata untuk menyempurnakan akhlak mulia.”

Impak kepada kehidupan beragama seseorang itu adalah menjadi manusia yang berakhlak mulia. Salah satu penunjuk utama daripada akhlak mulia adalah menjauhi perbuatan, perkataan dan perilaku yang keji serta kotor termasuklah bahan-bahan pornografi. Bahkan, salah satu ciri orang yang beriman adalah mampu mengawal syahwat seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Mukmin ayat 5. Justeru, pengurusan syahwat atau nafsu itu penting bahkan mungkin juga lebih penting daripada pengurusan hati.

Dalam rangka melaksanakan tugas sebagai khalifah, manusia harus menjaga kesucian diri dan keturunan termasuk memelihara diri daripada mendekati bahaya zina seperti pornografi sendiri. Zina adalah perbuatan paling keji dan jalan yang sesat (Al-Isra’, ayat 32).

Zina memberikan kesan yang sangat buruk bukan hanya kepada si pelaku itu sendiri juga kepada anak-anak yang lahir akibat perbuatan zina itu. Dalam konteks zina, ajaran Islam menekankan unsur-unsur pencegahan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.” (Al- Isra’: 32)

Sebahagian ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan mendekati zina salah satunya adalah dengan melihat bahan-bahan pornografi (mempertontonkan gambar-gambar bahagian tubuh yang membangkitkan nafsu berahi) baik secara langsung ataupun tidak. Ini bermakna, semua perbuatan keji yang boleh membawa kepada zina adalah haram sebagaimana haramnya zina itu sendiri. Sehubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Umatku masih dalam keadaan baik selagi perbuatan zina tidak melanda mereka. Apabila perbuatan zina sudah merajalela di antara mereka, Allah akan menurunkan seksa-Nya kepada mereka semua (Hadis Riwayat Ahmad).

Tuesday, November 18, 2008

Keistimewaan solat Subuh berjemaah

Halangan, godaan laksana ibadah sebelum terbit fajar uji tahap keimanan seseorang

WAKTU paling liat untuk bangun tidur ialah ketika hampir masuk waktu subuh. Jika pada masa itu hujan renyai dengan hembusan angin dingin pula, maka tambah malas hendak bangun dan semakin kuat tangan menarik selimut.

Walaupun hakikatnya kita sudah terjaga, oleh kerana telinga didendangkan syaitan bahawa tidur lebih nikmat daripada bangun, maka ada antara kita terus berlengkar macam ular sawa di tempat tidur sehingga waktu subuh berlalu.

Setiap orang pasti menempuhnya kerana waktu subuh adalah masa cukup enak melayan fikiran di tempat tidur. Justeru, hati malas dan liat untuk bangun memberi peluang syaitan berjaya menggoda.

Susahnya untuk bangun pagi bagi menunaikan solat Subuh adalah ujian melihat sejauh mana tahap keimanan kepada-Nya. Ujian seperti ini dihadapi umat manusia tanpa kecuali sejak Nabi Adam diciptakan hingga hari kiamat.

Firman Allah yang bermaksud: "Alif lam mim. Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (begitu saja) mengatakan: Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta." (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dialah yang menjadikan mati dan hidup, agar Dia menguji siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun." (Surah al-Mulk, ayat 2) Mendirikan solat Subuh berjemaah di surau atau masjid perkara yang berat untuk dikerjakan. Ujian itu dikira berat kerana banyak godaan dan halangan sebelum berjaya melangkah kaki ke surau atau masjid.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah Isyak dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya sekali pun dengan merangkak. Sungguh, aku ingin menyuruh mengerjakan solat, lalu solat itu ditegakkan, kemudian aku perintahkan seseorang untuk mengimami solat bersama orang ramai. Kemudian beberapa orang lelaki berangkat bersamaku dengan membawa kayu yang diikat, mendatangi suatu kaum yang tidak menghadiri solat berjemaah, sehingga aku bakar rumah mereka." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Waktu subuh bermula sejak terbit fajar hingga terbit matahari. Masalah itu ditegaskan sekali lagi oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mendapatkan satu rakaat solat Subuh sebelum terbit matahari, maka dia sudah melaksanakan solat Subuh." (Diriwayatkan oleh al-Tirmizi daripada Abu Hurairah)

Sesungguhnya sesiapa yang pergi ke surau atau masjid untuk mendirikan solat Subuh berjemaah akan mendapatkan banyak keistimewaan dan pahala dibandingkan orang yang melaksanakan solat fardu selain solat Subuh berjemaah.

Antaranya ialah mendapat pahala seperti orang yang solat berjemaah iaitu 27 darjat pahala, memperoleh kebaikan yang banyak, dihapuskan amal kejahatan, dinaikkan darjat dan kedudukan, dijanjikan syurga dan malaikat mendoakannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang solat dua waktu yang sejuk, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Al-Bukhari daripada Abu Musa al-Asya'ri)

Keistimewaan lain yang diperoleh mereka yang mendirikan solat Subuh berjemaah ialah seakan-akan melaksanakan solat malam.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang mengerjakan solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia bersolat setengah malam. Barang siapa mengerjakan solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak) maka seakan-akan dia melaksanakan solat malam selama satu malam." (Hadis riwayat Muslim)

Subuh adalah sumber segala cahaya pada hari kiamat kelak. Allah akan memberi cahaya yang sangat terang pada hari kiamat kepada mereka yang mendirikan solat Subuh dengan berjemaah di surau atau masjid.

Walaupun cahaya bagi orang beriman pada hari kiamat berbeza, Allah tidak akan mencabut cahaya itu di mana saja dan tidak mengambilnya ketika melewati Sirat al-Mustaqim. Allah akan tetap bersama mereka sampai mereka masuk ke dalam syurga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Berikanlah khabar gembira kepada orang yang banyak berjalan dalam kegelapan menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat." (Hadis riwayat al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah) Dalam kegelapan bermaksud solat Isyak dan Subuh.

Waktu subuh amat singkat, oleh itu mereka yang ingin mendirikan solat Subuh harus bersedia awal sebelum masuknya waktu.

Solat tepat pada waktunya adalah ibadah yang disukai Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Amal yang paling dicintai Allah adalah mengerjakan solat (tepat) pada waktunya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tuesday, November 11, 2008

MEJA PALING BERTUAH TAHUN 2008



Inilah meja paling bertuah Majlis Jamuan Akhir Tahun Warga SMKPC1 tahun 2008 yang diadakan di Hotel New Pasific pada 11/11/08. Seramai 7 orang guru, kesemuanya mendapat hadiah cabutan bertuah.

MEJA PALING BERTUAH TAHUN 2008

MEJA PALING MALANG...



Jamuan akhir tahun 2008 warga SMKPC1 telah menyaksikan sebuah meja malang, yang mana tiada seorang pun yang mendapat hadiah cabutan bertuah daripada 12 buah meja. Ada juga yang sempat singgah di kedai runcit jam 11.30 malam dalam hujan lebat untuk membeli barangan sebagai hadiah cabutan bertuah untuk dibawa pulang....

banyak gambar-gambar menarik DALAM JAMUAN AKHIR TAHUN WARGA SMKPC1 DI HOTEL NEW PACIFIC KOTA BHARU...

TUNGGU... MUNGKIN GAMBAR ANDA JUGA ADA...

Sunday, November 9, 2008

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN

KAMI SEMUA WARGA SMKPC1 MENGUCAPKAN SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN SPM DAN STPM KEPADA SEMUA PELAJAR SMKPC1 TAHUN 2008. SEMOGA ANDA SEMUA BERJAYA DENGAN CEMERLANG. TIADA HADIAH YANG PALING BERNILAI SELAIN SEBUAH KEJAYAAN YANG CEMERLANG UNTUK KAMI...

KOMEN?

Anda boleh memberi sebarang komen terhadap blog ini...

Saturday, November 8, 2008

KURSUS PROFESIONALISME GURU SMKPC1 DI BTPN PADA 8 NOV.2008



Guru-guru SMKPC1 berkursus lagi di BTPN untuk memantapkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran terhadap anak didiknya mulai tahun 2009 nanti. Kursus sepanjang hari tersebut penuh dengan pengisian program peningkatan profesionalisme keguruan. Guru-guru SMKPC1 semakin berilmu pengetahuan untuk mendidik para pelajar SMKPC1.

Ceramah yang berkesan oleh Dato' Mufti Negeri Kelantan dapat menambahkan lagi ilmu sebagai seorang pendidik.

GURU-GURU BERKURSUS LAGI...

Wednesday, November 5, 2008

PROGRAM SOLAT HAJAT DAN IZIN ILMU SPM DAN STPM




Program Solat Hajat dan Izin Ilmu telah diadakan di Dewan Besar SMKPC1 yang diimamkan oleh Tuan Imam Muda Masjid As-Salam, Al-Fadhil Ustaz Mohd Nazri.Kehadiran ibu bapa amat membanggakan. Turut hadir, YDP PIBG En Wan Ismail B Wan Ahmad. Majlis bermula jam 8.15 pagi.

Saturday, November 1, 2008

Permohonan ke IPTA guna Aplikasi Dalam Talian

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah melaksanakan permohonan kemasukan ke institut pengajian awam (IPTA) bagi Program Pengajian Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf dengannya mengguna pakai Aplikasi Dalam Talian (Online Application) sepenuhnya mulai sesi akademik 2008/2009.

KPT melaksanakan permohonan aplikasi itu secara dua fasa membabitkan pendaftaran permohonan bagi Fasa 1 dan Pengesahan Permohonan bagi Fasa 2.

Calon lepasan SPM (2006 hingga 2008) dikehendaki mengemukakan permohonan kemasukan ke IPTA Fasa 1 melalui URL http://www.mohe.gov.my yang dibuka mulai Isnin ini dan tarikh tutup permohonan pada 31 Disember 2008.

Calon lepasan SPM bagi Fasa 1 hanya perlu menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan perlu mengisi maklumat peribadi, pekerjaan, keluarga, akademik, kategori permohonan dan kokurikulum.

Sementara itu bagi Fasa 2 pula akan dibuka pada Isnin ini (2/11/2008) mulai 12 tengah hari dan pemohon perlu membeli nombor unik ID dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN).

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

PK PETANG

PK PETANG
RAHIMI B MAMAT

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

PENYELARAS PSS

PENYELARAS PSS

WEB MASTER

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Lulusan Sarjana Muda Pengurusan(Kepujian) USM 1989