SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PENGKALAN CHEPA 1, JALAN MAKTAB, 16100 KOTA BHARU, KELANTAN, DARUL-NAIM e-mail: smkpchepa1@yahoo.com Tel: 09-7713840

Friday, December 5, 2008

Keupayaan kawal nafsu penentu martabat manusia

PENCIPTAAN manusia sebagai makhluk Allah yang istimewa mengikut pendapat sebahagian tokoh Islam terdiri daripada gabungan beberapa elemen utama iaitu roh, jasad, akal dan emosi. Kekuatan roh Islam dalam diri seseorang individu itu penentu utama martabat nafsu dalam jiwanya.

Jika bentuk dan pergerakan nafsu itu baik, maka manusia itu menjadi khairul bariyyah (sebaik-baik makhluk). Jika sebaliknya, maka manusia itu menjadi syarrul bariyyah (seburuk-buruk makhluk).

Sebenarnya kecantikan dan keindahan manusia bukan terletak pada fizikal dan mentalnya saja, tetapi pada perkara yang terkandung dalam jiwanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang jasad dan rupa kamu (saja), tetapi Dia memandang hati kamu.” (Hadis riwayat Muslim dan al-Tirmizi)

Islam menegaskan bahawa potensi untuk seseorang itu menjadi dan menghasilkan sesuatu yang baik sentiasa mengatasi potensinya untuk menjadi dan menghasilkan sesuatu yang buruk. Apabila tiba di satu persimpangan, ada dua pilihan iaitu perkara yang baik, lebih baik, buruk atau lebih buruk.

Maka, pada ketika itulah martabat nafsu kita akan mempamerkan kualitinya yang sebenar. Justeru, kuasa pemilihan berada di tangan kita setiap kali berada di persimpangan itu dan dalam situasi sebegini hendaklah kembali kepada Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya (merosakkannya dengan kemaksiatan).” (Surah al-Syam, ayat 7-10)

Sesungguhnya untuk mengawal nafsu pada setiap saat bukan satu tugas mudah. Perkara itu digambarkan Rasulullah SAW apabila Baginda memimpin kaum Muslimin kembali dari medan peperangan menuju ke kampung halaman mereka.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kita kembali daripada jihad (peperangan) kecil kepada jihad yang lebih besar (perjuangan melawan nafsu dan pembersihan hati).”

Meskipun begitu, untuk membentuk nafsu yang mulia bukanlah satu tugas mustahil kerana nafsu itu sendiri tidak merujuk kepada sesuatu yang keji dan buruk. Al-Quran menyentuh tujuh martabat nafsu dan wajar bagi setiap orang mengenal pasti kategori nafsu yang mereka duduki ketika ini.

Pertama, nafsu amarah yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Sebenarnya martabat atau kedudukan nafsu ini adalah yang paling rendah dan keji di sisi Allah. Setiap perlakuannya hanya perkara yang dipandang keji oleh Allah. Di samping itu, ia amat sukar untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Nafsu amarah sentiasa menyuruh ke arah kejahatan dan tidak lagi wujud perbezaan antara perkara baik dengan yang buruk. Begitu juga tidak timbul langsung perasaan duka atau sesal jika berlaku perbuatan jahat. Sebaliknya, perasaan gembira dan berpuas hati akan timbul akibat daripada melakukan kejahatan seperti yang diinginkan oleh nafsu jahat ini.

Kedua ialah nafsu lawwamah seperti firman Allah yang bermaksud, “Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (akan dirinya sendiri).” (Surah al-Qiyamah, ayat 2)

Seseorang yang menduduki martabat nafsu ini akan mempunyai perasaan bahawa ia tidak patut melakukan perkara kejahatan dan kemaksiatan yang ditegah Allah. Jika kesalahan itu dilakukan juga, maka ia akan mencela dirinya dan amat menyesali atas perbuatannya.

Walau bagaimanapun, kekuatan nafsu itu belum memadai untuk menghindari seseorang daripada mengulangi perbuatan keji dan salah. Sebenarnya ia akan bergantung pada kekuatan imannya ketika berhadapan dengan keadaan yang menguji dirinya.

Ketiga, nafsu mulhamah di mana seseorang yang menduduki martabat nafsu ini akan berusaha menghakis sifat keji (mazmumah) dan menggantikannya dengan sifat mulia (mahmudah).

Mereka kuat beriltizam untuk beribadat kepada Allah dan akan bertaubat nasuha atas segala dosa dilakukan sebelum ini. Sesalan yang dirasainya memang benar dan segala dugaan terhadap iman secara spontan menggerakkannya mencari perlindungan Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 135)

Keempat, nafsu mutma’innah yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 27-30)

Seseorang yang menduduki martabat nafsu ini akan suci dan bersih jiwanya. Kesucian jiwa itu diumpamakan sebagai kesucian jiwa orang solihin sama seperti kesucian jiwa bayi yang baru lahir. Martabat nafsu inilah yang mewujudkan ketenteraman dan ketenangan. Namun, ia hanya dikurniakan Allah kepada sesiapa yang diredai-Nya saja.

Kelima, nafsu radhiah, nafsu mardhiyyah dan nafsu kamaliyyah. Ketiga-tiga nafsu ini adalah martabat yang semakin tinggi. Ia hanya boleh dicapai oleh mereka yang sudah mencapai martabat nafsu mutma’innah.

Pelbagai kelebihan dikurniakan Allah kepada mereka yang mampu sampai ke martabat tinggi ini. Tidak mustahil bagi sesiapa pun untuk mampu mencapai tahap tinggi asalkan berjaya memenuhi segala syarat ibadat, yakni segala elemen gabungan menjadikan insan ini bergerak secara bersama ke arah semata-mata mencari keredaan Allah.

Semua martabat nafsu diertikan sebagai sifat perlakuan naluri manusia mengikut tahap kesucian hati dan jiwanya dengan Allah. Jika nafsu itu kotor, maka rosaklah segala tindakan dan perlakuan seseorang. Sebaliknya, jika nafsunya bersih, maka segala tindakannya itu akan turut bersih dan baik.

Tuesday, December 2, 2008

Haji akbar: hakikat dan kepercayaan


SETIAP kali apabila hari wuquf jatuh pada hari Jumaat, umum umat Islam menganggapnya sebagai Haji akbar. Ini mungkin berdasarkan hari wuquf Rasulullah ketika haji wada’ yang juga berlaku pada hari Jumaat.

Perkataan Haji akbar disebut di dalam al-Quran yang bermaksud: Dan (Inilah) suatu pemakluman daripada Allah dan rasul-Nya kepada umat manusia pada hari Haji akbar bahawa sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripada orang-orang musyrikin. Kemudian jika kamu (kaum musyrikin) bertaubat, Maka bertaubat itu lebih baik bagimu; dan jika kamu berpaling, Maka Ketahuilah bahawa sesungguhnya kamu tidak dapat melemahkan Allah. Dan beritakanlah kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan mendapat) seksa yang pedih. (at-Taubah: 3)

Para Mufassirin (ahli tafsir) berbeza pendapat tentang yang dimaksud dengan Haji akbar, ada yang mengatakan hari Nahar, ada yang mengatakan hari Arafah.

Kebanyakan Mufassirin seperti Ibn kathir, al Sa’diyy, al Syanqitiyy, al Qurtubiyy dan al Tabariyy cenderung menyatakan Haji akbar adalah hari raya haji ataupun hari Nahar.

Sungguhpun begitu yang dimaksud dengan Haji akbar di dalam ayat ini adalah haji yang terjadi pada tahun kesembilan Hijrah. Tidak ada seorang pun ahli tafsir yang berpandangan Haji akbar adalah haji yang wuqufnya jatuh pada hari Jumaat.

Haji akbar

Kebanyakan ahli fikah atau Jumhur Fuqaha berpandangan Haji akbar adalah hari Nahar atau Hari Raya Haji. Ini lantaran kebanyakan amalan haji seperti melontar di Jamratul Kubra, bergunting, tawaf Ifadhah dan saie mula ditunaikan para jemaah haji pada hari Nahar.

Tokoh besar fiqh di dalam Mazhab Syafiee, Imam al Nawawiy menyatakan: “Humaid menyatakan hari nahar adalah hari Haji akbar, ini kerana qaul Abi Hurairah, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam sahih kedua-duanya…. Ini kerana kebanyakan manasik dilakukan pada hari tersebut, adapun orang yang mengatakan Haji akbar adalah hari arafah mereka berhujahkan hadis ‘haji adalah arafah’ tetapi hadis Abu Hurairah menolak pandangan ini.

Al Qadhi ‘Ayyadh menukilkan yang Haji akbar menurut Mazhab Malik adalah hari Nahar, manakala menurut Mazhab Syafiee adalah hari Arafah.

Realitinya adalah di sebalik apa yang beliau nyatakan, bahkan Mazhab Syafiee dan Ashabnya adalah hari Nahar seperti yang telah disebut wallahu ‘alam.

Shamsuddin al Sarkhasiyy seorang tokoh daripada Mazhab Hanafi menyatakan: “Tawaf ziarah adalah rukun haji dan dia adalah Haji akbar pada takwil firman Allah: surah Taubah ayat ketiga. Waktunya adalah pada hari Nahar”.

Fuqaha Maliki juga menyatakan perkara yang sama, umpamanya Muhammad ibn Yusuf menyatakan: “Malik berkata: hari Nahar adalah hari Haji akbar”.

Tersebut di dalam al Mughniyy ‘ala Mukhtasar Al Kharqiy sebuah karya besar di dalam Mazhab Hanbali: Fasal: Hari Haji akbar adalah hari Nahar, Sesungguhnya Rasulullah telah berucap pada hari nahar dengan berkata, “Inilah hari Haji akbar”.

Dinamakan demikian kerana banyaknya amalan haji yang ditunaikan pada hari tersebut dari wuquf di Masy’ar, bertolak ke Mina, melontar, menyembelih, bercukur, tawaf ifadhah dan kembali ke Mina untuk bermalam...”

Berdasarkan paparan di atas jelas kepada kita bahawa Haji akbar menurut fuqaha keempat-empat mazhab utama di dalam Islam adalah Hari Nahar.

Haji akbar menurut muhaddithin

Di sini dinukilkan beberapa pandangan Muhaddithin berkenaan dengan Haji akbar.

-Menurut Muhammad ibn ‘Ali al Shaukaniyy: “Sabdanya: (Hari Nahar) iaitu hari Haji akbar menurut pandangan yang sahih di dalam Mazhab Syafiee, Malik dan Ahmad...”

-Abu al ‘Ala al Mubarakfuriyy menyatakan: “Telah terkenal di kalangan orang awam apabila hari Arafah jatuh pada hari Jumaat, haji pada tahun itu adalah Haji akbar, tiada asal pada pandangan ini. Benar Razin telah meriwayatkan daripada Talhah bin Ubaidullah bin Karz secara mursal: “Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, maka ia lebih utama daripada 70 kali haji di hari selain dari hari Jumaat”, demikianlah seperti yang terdapat di dalam Jamu’ al Fawaid dan ia adalah hadis mursal yang saya tidak dapati isnadnya”.

-Menurut al Zarqaniyy pula: “...(setelah beliau menyebut hadis Razin tersebut)...al Hafiz telah mengkajinya dan menyatakan: aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya….. dan di dalam al Hadyu karangan Ibn al Qayyim: Apa yang tersebar di atas lidah orang awam yang wuquf pada hari Jumaat menyamai 72 kali haji adalah riwayat yang palsu/batil tidak ada asalnya dari Rasulullah SAW juga tidak daripada mana-mana sahabat ataupun Tabiein”.

-Al Imam Ibn Hajar Al Asqalaniyy ketika mensyarahkan hadis berkenaan penurunan ayat Allah dalam surah al-Maaidah ayat 3 yang bermaksud: Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu..., dengan katanya: “... Hadis ini menjadi dalil kepada keistimewaan wuquf pada hari Jumaat berbanding dengan hari-hari lain, kerana Allah SWT telah memilih bagi Rasul yang terbaik dan amalan itu mulia dengan kemuliaan masa dan tempat. Hari Jumaat pula adalah sebaik-baik hari dalam seminggu, kerana padanya, terdapat satu saat yang mustajab padanya doa lebih-lebih lagi bagi qaul yang mengatakan ia selepas asar.

Adapun hadis yang disebut oleh Razin secara marfu’ di dalam Jami’nya: “Sebaik-baik hari adalah hari Arafah apabila jatuh pada hari Jumaat, maka ia lebih utama daripada 70 kali haji di hari selain dari hari Jumaat. Aku tidak mengetahui halnya kerana ia tidak menyebut dua sahabat yang meriwayatkan hadis ini dan tidak mentakhrijnya... secara keseluruhannya dari kedua-dua- nya ia mensabitkan kelebihan dengan yang demikian itu, Wallahu ‘alam”.

Berdasarkan pandangan-pandangan yang dipaparkan jelas kepada kita yang mengHaji akbarkan wukuf pada hari Jumaat adalah suatu yang tidak mempunyai asas yang kuat. Namun kelebihan wuquf pada hari Jumaat adalah suatu yang sabit dan diakui.

Kesimpulan

Paparan ringkas ini menunjukkan realitinya Haji akbar datang pada setiap tahun dengan datangnya hari Nahar iaitu Hari Raya Haji.

Ia menjadi agung dan besar dengan keagungan amalan haji dan korban yang dilakukan oleh umat Islam pada hari tersebut.

Wuquf pada hari Jumaat pula adalah suatu keistimewaan yang amat besar kerana ia menghimpunkan keutamaan hari wuquf dan hari Jumaat di samping keutamaan beribadat di Padang Arafah. Wallahu ‘alam.

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

PK PETANG

PK PETANG
RAHIMI B MAMAT

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

PENYELARAS PSS

PENYELARAS PSS

WEB MASTER

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Lulusan Sarjana Muda Pengurusan(Kepujian) USM 1989