MELIHATKAN kerakusan Zionis di Gaza melalui paparan berita akhbar dan televisyen menunjukkan sesuatu yang diambil mudah kebanyakan penduduk di Malaysia.
Rakyat Palestin yang biasa dengan hentaman bom dan peluru Yahudi dilihat berpengalaman luas dalam memberikan bantuan dan pertolongan kecemasan kepada mangsa yang tercedera.
Setelah lebih setengah abad dijajah dan diserang berulang kali, rakyat Palestin dilihat bersemangat bekerjasama menyelamatkan saudara mereka dengan keberanian merempuh hujan peluru tentera Israel.
Dalam situasi peperangan sebegitu, pengetahuan dalam pertolongan cemas bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa malahan dapat mengelakkan kecederaan lebih teruk seperti lumpuh atau perlu dipotong anggota badan tertentu.
Bagaimanapun, pertolongan cemas bukan hanya untuk ketika perang malahan penting di ketika berlakunya kecemasan atau kemalangan di rumah mahupun di tempat kerja.
Di waktu ketiadaan pakar dan kemudahan perubatan, pertolongan cemas dapat menentukan antara hidup dan mati mangsa.
Pertolongan cemas dapat mengelakkan kehilangan darah yang banyak, bisa merebak atau jangkitan kuman sementara bantuan paramedik tiba untuk dibawa ke hospital.