SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PENGKALAN CHEPA 1, JALAN MAKTAB, 16100 KOTA BHARU, KELANTAN, DARUL-NAIM e-mail: smkpchepa1@yahoo.com Tel: 09-7713840

Tuesday, October 28, 2008

SEMINAR BINA UMMAH DI CITY VILLA KUALA LUMPUR ANJURAN YAYASAN DAKWAH ISLAMIAH MALAYSIA PADA 25 HINGGA 27 OKTOBER 2008






Seminar ini dihadiri semua guru SMKPC1 berlangsung selama 3 hari 2 malam. Pada 25 Oktober 2008, ucap utama dan perasmian dilakukan oleh Tn.Haji Abdul Halim Ismail, Pengurus Kanan Program Bina Ummah pada jam 9 malam dan berakhir pada jam 11 malam.

Pada 26 Oktober 2008, Ceramah bertajuk Cabaran Dakwah Masa Kini telah disampaikan oleh Tn.Haji Muhammad Fitri Bin Abdullah, Ahli Majlis PERKIM. Ceramah kedua telah disampaikan oleh Prof.Madya Dr. Rahimin Affandi Abdul Rahim, Pensyarah UM yang bertajuk Perpaduan Ummah Menurut Perspektif Islam. Pada malamnya, ceramah Agenda Pembangunan Ummah telah disampaikan oleh En.Norniwandi B Mat Nordin, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

Pada 27 Oktober 2008, pembentangan bengkel dilaksanakan oleh enam kumpulan. Akhirnya, Majlis Perasmaian Penutup telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua SMKPC1, Tuan Haji Abdul Aziz Bin Che Ali.

GAMBAR PARA GURU BERSEMINAR DI KL PADA 25 HINGGA 27 OKTOBER 2008

Tuesday, October 14, 2008

Janji dan Sumpah Iblis

Tipu daya, janji dan sumpah iblis memerangkap dan membinasakan manusia yang lalai, hidup didasari nafsu dan tidak dibekalkan iman yang kukuh dari segenap segi. Sesungguhnya dengan keimanan yang teguh mampu menjadi benteng paling ampuh mematahkan serangan syaitan ini. Dengan runtuhnya keimanan itu pasti iblis dan syaitan itu akan terus menjadi teman karib manusia.

Yang nyata, kejahatan iblis ini tiada batasan dan tidak pernah berehat untuk mengajak manusia ke jalan kesesatan dengan terus berjuang tanpa henti sehingga pada saat malaikat mencabut nyawa seseorang. Malah, tipu dayanya lebih dahsyat supaya manusia mati dalam keadaan sesat dan tidak beriman.

Iblis mempunyai lima anak yang masing-masing menjalankan tugas tertentu.

Thabr bertugas ketika manusia ditimpa kecelakaan atau kematian dengan menyuruh merosakkan diri sendiri seperti mengoyakkan pakaian, menampar muka dan apa juga kebiasaan dilakukan pada zaman jahiliah.

A'war sebagai penghasut melakukan zina dengan menggambarkan manusia mengenai keseronokan dan keindahannya. Masut pula membisikkan manusia supaya berdusta dan berbohong. Dasim bertugas menghasut seseorang marah kepada keluarganya dan menuduh mereka mendedahkan keaibannya.

Zalanbur bertugas merayau-rayau di pasar serta menghasut penjual dan pembeli mengadu terhadap kecurangannya. Khazab mengganggu manusia ketika sedang bersembahyang manakala Walhan pula mengganggu manusia ketika berwuduk.

Sesungguhnya, wanita sering dijadikan sasaran dan dianggap makanan lazat kepada iblis untuk menghimpunkan lelaki ke medan 'kesesatan dan neraka'. Iblis menjanjikan janji indah penuh tipu daya memikat kaum lelaki supaya memfokus diri terhadap wanita yang penuh kenikmatan dan keseronokan.

Janji dan sumpah iblis untuk menyesatkan manusia dengan pelbagai cara iaitu sentiasa ingin menerbitkan perasaan marah, mencintai dunia, rakus dan tamakkan dunia, riak, syirik, ujub (kagum dan merasa hairan dengan keunggulan diri sendiri), buruk sangka, memandang rendah pada orang lain, suka kepada dosa, putus asa daripada rahmat Allah, kufur, sombong, mengumpat, lalai, dan membazir serta bermewah dalam hidup.

Semua sifat itu dijelaskan dengan terperinci dalam bab seterusnya menjadikan pembaca ingin terus membaca dan menghayati isi kandungan.

Namun, dalam usaha meningkatkan keimanan itu, keseluruhan umat juga perlu memperbanyakkan ibadat kepada Allah dengan kerap bertaubat dengan apa yang dilakukan, sentiasa memusuhi nafsu, rasa takut kepada Allah serta berzikir sebagai tanda keprihatinan kepada Allah serta mengingat-Nya. Dengan zikir ini ia juga mampu menjadi benteng kekebalan diri daripada gangguan iblis dan syaitan selain mendapat syafaat Rasulullah SAW.

Monday, October 13, 2008

MELAKAR KEJAYAAN

TUJUAN utama penubuhan sesebuah universiti tidak lain dan tidak bukan ialah untuk melahirkan modal insan lebih berdaya saing lengkap kemahiran profesional, selain pembentukan sahsiah secara seimbang.

Objektif utamanya ialah meningkatkan taraf sosial masyarakat setempat dengan penyediaan program yang dapat memenuhi pasaran semasa.

Misi perjuangan universiti adalah jelas iaitu membawa anjakan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi penyediaan kemudahan pendidikan berkualiti.

Kakitangan pelbagai peringkat terutama tenaga akademik mesti aktif melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menjadi teras kepada usaha menjana teknologi dan ilmu baru untuk dimanfaatkan bersama.

Dalam hal ini, pengalaman universiti yang sudah kukuh di negara ini boleh dikongsi bersama semua pihak bagi meningkatkan daya saing dalam apa saja pekerjaan yang dilaksanakan.

Selain itu juga, disiplin serta kesungguhan yang tinggi membantu semua pihak untuk mencapai kejayaan lebih besar.

R&D berterusan juga menjadi pemangkin kepada usaha merealisasikan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Graduan Universiti nanti adalah tenaga profesional yang begitu diharapkan bagi menjayakan program pembangunan berkenaan.

Bertitik tolak kepada tujuan asal penubuhan universiti, semua pihak perlu memainkan peranannya dengan mewujudkan lebih banyak rangkaian akademik dengan rakan dari dalam mahupun luar negara kerana ia menjadi penanda aras kepada kekuatan sesebuah institusi berkenaan.

Sunday, October 12, 2008

"SELAMAT MENJAWAB"

Selamat menjawab peperiksaan PMR kepada semua pelajar tingkatan 3 SMKPC1 semoga anda dapat menjawab dengan tenang dan seterusnya berjaya dengan cemerlang. InsyaAllah...

Tuesday, October 7, 2008

KURSUS MOTIVASI TINGKATAN 6 RENDAH 2008




Kursus motivasi diadakan di Dewan Besar SMKPC1 mulai pada 6&7 Oktober 2008 anjuran Unit Bimbingan & Kaunseling 2008.

Rasional program:
Bertujuan untuk membina asas yang teguh bagi memastikan semua calon STPM 2009 berkeyakinan dan dan mencapai target masing-masing.

Objektif:
Memberi motivasi dan keyakinan diri kepada pelajar. Mendedahkan pelajar cara menangani stress mendedahkan pelajar dalam kerjaya pengurusan profesional.

Monday, October 6, 2008

Ganjaran besar puasa enam Syawal

Mukmin laksana amalan sunat mendapat kebaikan berganda

DUA jenis amalan menentukan peribadi seseorang Muslim iaitu amalan wajib dan amalan sunat. Wajib bermaksud sesuatu yang dituntut untuk melakukannya dan berdosa jika ditinggalkan seperti solat fardu, puasa pada Ramadan dan membayar zakat.

Sunat pula bermaksud sesuatu yang dianjurkan untuk melakukannya dan tidaklah berdosa jika ditinggalkan. Antara contoh amalan sunat ialah solat, mengucapkan amin apabila membaca fatihah dalam solat dan banyak lagi.

Walaupun meninggalkan amalan sunat tidaklah menyebabkan berdosa, ia adalah amalan sangat disukai Allah.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah berfirman yang maksudnya: "Sesiapa yang memusuhi wali-Ku, maka sesungguhnya aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seorang hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Aku cintai hanya dari ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hamba-Ku sentiasa bertaqarrub dirinya kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, nescaya adalah Aku sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan sebagai penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya, dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan jika ia meminta kepada-Ku nescaya Aku berikan kepadanya, dan jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku lindungi." (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Antara ibadat sunat yang amat digalakkan selepas puasa wajib Ramadan ialah puasa enam hari semasa Syawal. Persoalannya, bilakah waktu terbaik melakukannya, dan bagaimanakah cara untuk menunaikannya jika puasa wajib belum lagi diganti atau diqada?

Puasa enam hari pada Syawal sebenarnya amat besar ganjaran yang ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW.

Dilaporkan daripada Abu Ayyub al-Ansari bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun." (Hadis riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah telah menggandakan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang menggenapkannya satu tahun." (Hadis riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah)

Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.

Persamaan yang lain, jika berpuasa selama sebulan pada Ramadan akan menyamai 10 bulan, kemudian diikuti puasa selama enam hari pada Syawal akan menyamai dua bulan. Justeru genaplah berpuasa selama setahun.

Ada dua pendapat ulama mengenai hal ini. Majoriti ulama berpendapat, puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas Hari Raya. Ia dimulai pada hari raya kedua dan seterusnya sehingga genap enam hari. Sebahagian ulama pula berpendapat puasa enam itu boleh dilakukan secara berselang-seli atau tidak terus menerus sepanjang Syawal.

Justeru, kita mempunyai kebebasan untuk membuat pilihan sama ada melakukannya secara berturut-turut ataupun berselang seli.

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat.

Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba.

Ada juga ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan Syawal saja. Bagi puasa qada, ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadan akan datang.

Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada. Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan.

Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

Saturday, October 4, 2008

RAI HARI KEMENANGAN ORANG BERPUASA

JIKA ketika Ramadan umat Islam bermujahadah mendisiplinkan diri dengan menahan makan minum sepanjang hari, tetapi apabila Syawal semua bergembira dan menikmati juadah aneka jenis kerana menyambut kemenangan selepas berperang dengan nafsu selama sebulan.

Aidilfitri pada 1 Syawal amat bermakna, kerana ia hari kemenangan umat Islam selepas berpuasa dan disebabkan itu ia disebut juga Hari Raya Puasa.


Ia disyariatkan Allah kepada umat Islam untuk merayakannya dengan penuh kesyukuran dan amal bakti yang diredai.

Aidilfitri atau dalam bahasa Arab, ‘Idulfitri’ adalah rangkai kata id dan al-fitr. Kata `id’ (hari raya) dalam bahasa Arab berasal daripada perkataan ‘aud’ ertinya yang berulang-ulang, iaitu peristiwa berulang-ulang pada setiap tahun yang membawa rahmat dan menggembirakan umat Islam, manakala fitr bermakna fitrah atau semula jadi.

Daripada Abu Umamah r.a, daripada Nabi Muhammad s.a.w sabdanya: Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang yang kufur ingkar) pada hari itu. (Riwayat Ibn Majah)

Hadis ini menggambarkan pada hari kiamat kelak, orang beriman dan beramal soleh, hatinya hidup iaitu bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah.

Sebaliknya orang kufur dan mengingkari perintah Allah, hatinya mati, hampa dan kecewa pada hari itu, kerana dimurkai Allah dan ditimpakan dengan balasan azab.

Pada hari raya umat Islam digalakkan menghiasinya dengan takbir (ucapan membesarkan Allah) dan tahmid (memuji Allah) sebagai menandakan kesyukuran pada hari yang mulia itu.

“Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad s.a.w, bersabda: Hiasilah hari-hari raya kamu dengan takbir.” (Riwayat Tabrani)

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin, berkata takbir itu dimulai pada malam hari raya puasa sampai waktu mengerjakan solat.

Malam hari raya juga antara waktu diperkenankan doa. Imam Syafie dalam kitab Al-Umm menjelaskan: “Dinyatakan kepada kami, doa sangat mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Syaban.”

Nabi s.a.w dan sahabat bertakbir, malah bersolat hari raya secara berjemaah pada hari yang mulia itu. Menurut sebuah hadis (riwayat Nafi’ dari Abdullah), Rasulullah s.a.w biasanya keluar pada pagi kedua-dua hari raya bersama-sama sahabat baginda sambil bertakbir beramai-ramai sepanjang perjalanan sehingga sampai ke tempat solat.

Di antara sahabat baginda yang turut serta ialah Saidina Ali, Abdullah bin Abbas, Zaid bin Harithah dan kedua-dua cucu baginda, Saidina Hasan dan Hussain r.a.

Menurut ulama, solat Aidilfitri mula dikerjakan Rasulullah s.a.w pada tahun kedua Hijrah dan baginda berkekalan mengerjakannya hingga akhir hayatnya.

Hukum mengerjakan solat dua rakaat hari raya adalah sunat muakkad atas setiap orang Islam yang baligh dan berakal.

Waktunya bermula daripada terbit matahari tetapi sunat dilewatkan sedikit hingga matahari naik kira-kira segalah dan berkekalan waktunya hingga gelincir matahari. Ini juga memberi kesempatan kepada mereka yang belum mengeluarkan zakat fitrah, dapat mengeluarkannya sebelum solat.

Hikmah berzakat ialah menyucikan diri, sekali gus mengelakkan orang fakir, miskin dan golongan kurang bernasib baik meminta sedekah pada hari raya. Malah, golongan kurang kemampuan juga berpeluang menyambut hari raya dengan gembira.

Solat Aidilfitri sunat ditunaikan secara berjemaah, malah Rasulullah s.a.w menggalakkan umat Islam, baik lelaki mahupun perempuan, tua atau muda termasuk kanak-kanak supaya keluar beramai-ramai mengerjakannya secara berjemaah kerana ia adalah satu syiar Islam.

Pada hari raya, umat Islam juga dianjurkan saling mengucapkan selamat dan tahniah kerana dapat menyempurnakan ibadat puasa pada Ramadan, berbaik sangka dan tidak keberatan memaafkan atas segala salah dan silap.

Seorang tabi’in, Jubair bin Nufair berkata: “Apabila sahabat Rasulullah bertemu pada hari raya, mereka mengucapkan tahniah di antara satu sama lain. Ucapan mereka bermaksud, mudah-mudahan Allah menerima daripada kami dan menerimanya daripada anda.”

Umat Islam digalakkan ziarah-menziarahi kerana dengan cara itu dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan persaudaraan, manakala bagi tuan rumah perlu bersikap rendah diri menerima tamu, menghormati dan melayan mereka sebaik mungkin.

Rasulullah bersabda, bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia menghubungkan silaturahim. Sesiapa beriman kepada Allah serta hari akhirat hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam.”

Dalam hadis lain Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sesiapa menghormati tetamu, sesungguhnya dia menghormatiku dan sesiapa menghormatiku dia memuliakan Allah. Sesiapa menjadi kemarahan tetamu, sesungguhnya dia menjadi kemarahanku. Sesiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya dia menjadi murka Allah.”

Bergembira dan berhibur pada hari raya tidaklah dilarang asalkan tidak terkeluar daripada batas syariat. Ini kerana Nabi s.a.w juga bergembira sebagaimana yang diperlihatkan kepada umatnya mengenai perilaku dirinya pada hari raya, seperti sebuah hadis diriwayatkan Aisyah, bermaksud: “Rasulullah masuk kepadaku dan di sisiku ada dua anak perempuan yang menyanyi dengan nyanyian Bu’ats (lagu Arab).

“Lalu baginda baring di atas hamparan dan memalingkan mukanya. Kemudian Abu Bakar as-Siddiq masuk, lalu beliau mengherdikku dan berkata, “Seruling syaitan di sisi Nabi Muhammad. Rasulullah s.a.w menghadap Abu Bakar,

kemudian berkata, ‘biarkan mereka berdua’.”

Mengikut hadis riwayat Hisham, baginda menambah, “Wahai Abu Bakar, setiap kaum ada hari rayanya dan hari ini adalah hari raya kita.”

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

PK PETANG

PK PETANG
RAHIMI B MAMAT

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

PENYELARAS PSS

PENYELARAS PSS

WEB MASTER

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Lulusan Sarjana Muda Pengurusan(Kepujian) USM 1989