SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PENGKALAN CHEPA 1, JALAN MAKTAB, 16100 KOTA BHARU, KELANTAN, DARUL-NAIM e-mail: smkpchepa1@yahoo.com Tel: 09-7713840

Tuesday, October 20, 2009

Martabatkan Bahasa Melayu

USAHA memperkasa dan memartabatkan Bahasa Kebangsaan mesti diambil serius oleh semua pihak kerana ia adalah satu daripada lima ejen utama perpaduan. Maka sewajarnya semua pihak memberi komitmen penuh untuk mendaulatkan bahasa Melayu dan memastikan ia digunakan seluas mungkin. Melaksanakan usaha ini sebenarnya bukan sesuatu yang sukar. Paling utama, ia mesti digunakan dalam apa juga urusan sama ada rasmi atau tidak, manakala penggunaannya pula mesti dibuat dengan cara yang betul. Dalam konteks ini, sesuai dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan, kerajaan mesti memastikan bahasa Melayu dihormati. Tindakan mengenakan hukuman terhadap mereka yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada bahasa Melayu bukan saja tepat, malah sepatutnya sudah lama dilaksanakan bagi mengelak ia diketepikan. Jika peraturan demikian dikuatkuasakan sebaiknya, kita yakin tiada lagi pihak yang berani mengambil remeh pekeliling Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2006 yang mengarahkan supaya semua majlis rasmi di kementerian dan jabatan kerajaan dikendalikan dalam bahasa Melayu. Begitu juga dengan penggunaannya untuk pelbagai tujuan lain seperti dalam mesyuarat, surat menyurat, penyediaan minit, pengiklanan hatta urusan jual beli sekali pun. Demikian juga di sektor swasta atau majlis tidak rasmi. Semuanya mesti mengutamakan bahasa Melayu. Pendek kata, bahasa Melayu mesti didahulukan bagi semua keadaan atau tujuan, tidak kira sama ada ia besar atau kecil.

Dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan, aspek paling penting ialah semua pihak mesti mempunyai rasa hormat dan cinta terhadapnya. Pepatah menyebut bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Jadi sudah tentu setiap anggota masyarakat perlu menjiwai dan menghayati sepenuhnya keutamaan menggunakan Bahasa Kebangsaan. Malangnya, hari ini ramai dalam kalangan masyarakat yang seolah-olah sengaja mengetepikan kedudukan Bahasa Kebangsaan. Penggunaannya bukan saja dibuat apabila terpaksa, malah lebih menyedihkan apabila ia dianggap bahasa kelas dua. Akibatnya, ia sering digunakan dengan cara yang tidak sepatutnya seperti dicampur aduk sesuka hati sehingga rosak dan tercemar. Sama ada disedari atau tidak, perbuatan sedemikian sebenarnya satu penghinaan. Sering kali mereka yang melakukan perbuatan itu alasan tidak mahir dalam penguasaan bahasa Melayu. Namun, realitinya jelas apabila mereka sebenarnya lahir, membesar, bersekolah dan tinggal dalam persekitaran yang terdedah kepada bahasa Melayu. Paling tidak pun, rata-ratanya pernah mendapat pendidikan formal dalam bahasa Melayu. Jika kita mahu melihat Bahasa Kebangsaan diletakkan ke tahap yang sepatutnya, sikap seperti ini dikikis terlebih dulu. Ia tidak boleh dibiar bertapak hingga membudaya dalam masyarakat. Memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan memerlukan tindakan yang lebih radikal, tegas dan serius. Lebih penting lagi, ia perlu dilakukan segera sebelum kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan hanya tinggal sekadar status dalam Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SOLAT HAJAT DI PADANG SEKOLAH

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

SUDUT ANJUNG WARISAN BUDAYA

PK PETANG

PK PETANG
RAHIMI B MAMAT

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

SAMBUTAN KEMERDEKAAN

PENYELARAS PSS

PENYELARAS PSS

WEB MASTER

My photo
Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Lulusan Sarjana Muda Pengurusan(Kepujian) USM 1989