SELESEMA babi adalah penyakit selesema yang dihidapi oleh babi. Penularan selesema babi adalah perkara biasa oleh haiwan ini dan sepatutnya ia tidak menjangkiti manusia kerana tubuh manusia tidak sesuai menjadi perumah kepada virus tersebut.
Malangnya, pada hari ini, tubuh manusia telah dijangkiti virus selesema dari babi. Dengan kata lain, selesema yang dihidapi oleh manusia pada hari ini berkemungkinan disebabkan oleh selesema manusia atau selesema babi.
Namun, yang nyata pada ketika ini, demam selesema yang dihidapi oleh rakyat Malaysia adalah dianggap berpunca daripada selesema babi sehingga dibuktikan sebaliknya oleh doktor.
Dari perspektif perubatan, jangkitan ini berlaku disebabkan oleh proses mutasi yang berlaku pada virus Influenza A H1N1. Hasil proses mutasi ini membolehkan virus selesema babi hidup dalam tubuh manusia. Namun adalah lebih elok jika kita melihat dari perspektif manusia dan keadaan persekitaran pada masa kini.
PUNCA?
Berapa ramai manusia yang mengidap kencing manis, sakit jantung, HIV atau Aids, penyakit kelamin dan berapa ramai yang obes dan malas? Adakah kita mengamalkan gaya hidup sihat? Adakah kita makan makanan yang sihat?
Ramai juga di kalangan rakyat Malaysia merokok dan meludah merata-rata tempat. Lihat persekitaran kita yang kotor, hancing, kurang pokok menghijau, sungai yang tercemar, penempatan yang padat dan lain-lain.
Kita tidak boleh menyalahkan virus tetapi kelemahan manusia itu sendiri menyebabkan virus H1N1 menjadi kuat dan mampu membunuh. Kita tidak menjaga kesihatan dan kebersihan diri sendiri dan keluarga kita. Kita juga gagal menguruskan fizikal, emosi dan spiritual diri dan hasilnya, imuniti dalaman dan luaran kita menjadi lemah.
Hidup atau mati adalah di luar jangkauan atau kawalan kita. Allah menentukan segala-galanya. Namun, manusia mesti berusaha untuk memastikan tahap kesihatan dan kebersihan diri mereka pada paras yang paling optimum. Mengikut kajian terkini oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar kematian akibat selesema babi adalah kurang dari satu (1) peratus. Walaubagaimanapun, kadar kematian disebabkan oleh selesema babi di Malaysia adalah lebih kurang dua (2) peratus. Ini bermakna, jika 5 juta rakyat Malaysia mengidap selesema babi, maka anggaran kematian ialah seramai 100,000 orang. Sila ambil peduli!
Tahap keterukan jangkitan selesema babi pada manusia kebiasaannya adalah ringan dan akan sembuh dalam masa beberapa hari walaupun tanpa sebarang rawatan. Namun virus ini mampu membiak dengan pantas di dalam tubuh manusia dan menjangkiti seluruh badan. Keadaan mangsa akan bertambah teruk dan ia mampu menyebabkan kematian.
Pemerhatian klinikal mendapati terdapat beberapa faktor yang memungkinkan mengakibatkan jangkitan selesema babi menjadi teruk. Faktor-faktor tersebut ialah:
1) penyakit kronik paru-paru seperti penyakit asma dan penyakit bronkitis
2) penyakit kronik jantung seperti lemah jantung dan kerosakan injap jantung
3) penyakit kegagalan buah pinggang yang kronik
4) penyakit kronik hati seperti hepatitis B dan C, dan sirosis hati
5) penyakit kronik otak seperti penyakit parkinson dan angin ahmar (strok)
6) kelemahan sistem pertahanan badan (imuniti) seperti AIDS, penerima pindahan organ dan pesakit kanser
7) pesakit kencing manis
8) ibu mengandung
10) kanak-kanak kecil berumur 5 tahun ke bawah.
Komplikasi selesema babi boleh berlaku pada mana-mana bahagian dalaman tubuh badan kita. Virus akan membiak di mana ia berada dan menyebabkan keradangan (inflamasi) dan kerosakan sel tisu. Keradangan adalah satu proses biologi semula jadi badan yang kompleks dan diaktifkan untuk bertindak terhadap pencerobohan kuman atau bendasing.
Salah satu sel yang diaktifkan adalah sel darah putih. Sel ini merembeskan bahan kimia di dalam darah atau tisu yang terbabit menyebabkan lebih banyak darah akan dialirkan ke kawasan jangkitan. Salur darah akan membengkak dan paling ditakuti apabila proses keradangan yang berterusan mengakibatkan kebocoran pada salur darah.
Keseimbangan antara kandungan cecair dalam dan luar salur darah menjadi tidak seimbang dan ini memudaratkan pesakit. Tekanan darah menjadi terlalu rendah, tisu akan kelaparan dan akhirnya mati akibat kekurangan darah mengalir yang membawa oksigen dan glukosa.
Cara penularan jangkitan selesema babi yang utama adalah melalui udara. Oleh itu, radang paru-paru atau jangkitan kuman paru-paru adalah komplikasi utama selesema babi. Keradangan paru-paru ini juga mengundang kehadiran bakteria. Mengikut kajian, bakteria dan virus saling bekerjasama memperkuat kedudukan mereka di dalam perumah. Virus membiak dengan lebih pantas, melemahkan pertahanan perumah serta meningkatkan aktiviti bakteria pada perumah (pesakit).
Jangkitan bakteria pula menyebabkan keadaan kesihatan mangsa bertambah teruk, tetapi bakteria boleh dibunuh dengan antibiotik. Tanda-tanda keradangan paru-paru ialah demam yang tinggi dan berterusan, batuk yang mengandungi kahak yang berwarna kuning kehijauan, nafas menjadi laju, sakit dada dan batuk berdarah.
Virus H1N1 pada salur pernafasan juga menjadi pencetus kepada serangan asma (lelah) atau bronkitis. Jangkitan virus ini (di samping penyakit yang sedia ada) akan mengakibatkan tahap serangan asma berganda dan meningkatkan risiko kematian. Mengikut hipotesis sedia ada, virus H1N1 mungkin mengakibatkan tisu salur pernafasan lebih sensitif pada bahan pencetus alergi serta peningkatan kepada proses keradangan atau inflamasi. Kedua-dua mekanisma ini menggandakan penyempitan salur pernafasan.
Kadar kematian di kalangan pesakit terbabit dianggarkan dalam lingkungan enam (6) hingga 29 peratus. Andai kata kerosakan paru-paru teramat teruk (acute respiratory distress syndrome), kadar kematian boleh meningkat sehingga 80 peratus.
Kajian juga menunjukkan jangkitan virus H1N1 pada paru-paru boleh mengakibatkan serangan jantung koronari dan menyebabkan kegagalan jantung. Suhu badan dan kadar metabolisma yang tinggi serta nadi yang laju mengakibatkan jantung terpaksa bekerja lebih kuat dari biasa. Tekanan pada jantung menyebabkan ketidakseimbangan penggunaan tenaga dan aliran oksigen ke salur koronari jantung. Akibatnya, jantung menjadi lemah dan sakit.
Manakala bagi pesakit yang terlalu tua atau bayi, pesakit AIDS, pesakit kencing manis dan pesakit kanser menghadapi risiko kematian yang tinggi akibat sistem pertahanan badan yang lemah. Selain radang paru-paru, keradangan teruk juga boleh berlaku pada meninges otak atau saraf (meningitis), keradangan otak (ensefalitis), keradangan salur darah yang menyebabkan tekanan darah menjadi rendah (septic shock), mahupun keradangan jantung (miokarditis dan pericarditis). Komplikasi kurang teruk yang mungkin berlaku adalah keradangan tisu tonsil (tonsilitis) dan keradangan telinga (otitis media).
Stres atau tekanan juga merupakan antara komplikasi kepada selesema babi. Terdapat laporan kes demam selesema yang mengakibatkan penyakit jiwa (skizofrenia). Hampir seluruh masyarakat Malaysia berada dalam ketakutan dan stres ketika ini. Bukan hanya pesakit mengalami stres kerana berhadapan dengan kematian, mereka yang tidak dijangkiti juga mengalami tekanan kerana khuatir akan dijangkiti virus H1N1.
Ahli-ahli politik dan kakitangan Kementerian Kesihatan juga tertekan dengan peningkatan kematian akibat selesema babi, lebih-lebih lagi kakitangan hospital kerana mereka adalah golongan yang berisiko tinggi dan terpaksa bekerja lebih masa. Malah cuti mereka juga dibekukan. Terdapat beberapa kajian menunjukkan stres juga merendahkan kecekapan sistem imuniti badan. Sistem imuniti yang rendah menjadikan tubuh kita lemah untuk melawan dan mengawal jangkitan kuman mahupun ketumbuhan seperti kanser.
*Pencegahan & rawatan
Cara yang terbaik adalah menghindar jangkitan penyakit ini adalah dengan menggunakan topeng mulut dan hidung (mask) bila keluar, selagi boleh hindari kawasan umum yang padat (seperti pasar malam), tidur yang cukup, banyakkan minum air suam, menunaikan solat lima waktu sehari dan menjaga kebersihan diri.
Namun, andainya kita diserang selesema, maka jangan berlengah untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat. Diagnosis awal mungkin memerlukan penggunaan antiviral seperti tamiflu untuk rawatan jika kita adalah dari kumpulan berisiko tinggi. Tujuan utama rawatan selesema babi pada peringkat awal ialah mengawal jangkitan virus supaya ia tidak merebak ke bahagian badan lain, memastikan jangkitan itu sekadar pada salur pernafasan bahagian atas sahaja (hidung dan mulut).
Pesakit dinasihatkan supaya berehat secukupnya di rumah dan mengambil air minuman secukupnya. Cuti sakit akan diberi kepada mereka yang bekerja. Rehat mengurangkan penggunaan oksigen secara berlebihan oleh tubuh manusia, menstabilkan kadar pernafasan dan merendahkan risiko virus merebak dari bahagian atas salur pernafasan, ke bahagian bawah. Pengambilan air yang cukup pula akan menghalang dehidrasi dan melancarkan fungsi tubuh badan serta tisu salur pernafasan.
Ubat paracetamol boleh merendahkan suhu badan kita. Suhu tubuh normal atau sedikit panas (lebih kurang 37ÂșC) baik untuk badan kita kerana ia mungkin mampu menyekat pembiakan virus H1N1. Penggunaan aspirin untuk mengurangkan demam pada kanak-kanak adalah dilarang kerana ia boleh mengakibatkan penyakit Sindrom Reye. Jangan mengambil sebarang ubat tanpa nasihat doktor!
Doktor juga mungkin akan memberi pil antiviral seperti osetalmivir kepada mereka yang berisiko tinggi. Dos yang diberikan adalah 1 pil dua kali sehari selama lima hari berturut-turut. Kajian menunjukkan antiviral ini sepatutnya diambil selama 48 jam atau 2 hari. Ianya amat berkesan bila diambil dalam masa 6 jam dari tanda jangkitan selsema babi mula timbul. Sebarang kesan sampingan ubat antiviral seperti loya dan muntah perlu dimaklumkan segera kepada doktor.
Ubat ini agak mahal dan tidak sepatutnya dipersiakan begitu sahaja. Antibiotik untuk membunuh bakteria pula akan diberikan andai doktor merasakan ianya benar-benar perlu sahaja. Pesakit juga dinasihatkan memakan makanan yang berkhasiat, terutamanya sayur dan buah-buahan yang mengandungi pelbagai jenis vitamin. Penggunaan madu asli untuk rawatan batuk turut digalakkan kerana madu mengandungi vitamin, mineral, antibodi dan antioksida. Dan, jangan lupa untuk bertawakal kepada yang maha Esa. Allahualam.
SOALAN MUSIM CUTI PERTENGAHAN TAHUN
14 years ago
No comments:
Post a Comment